Dua pertiga banduan jalani hukuman di luar

KUCHING: Jabatan Penjara Malaysia Negeri Sarawak menyasarkan dua pertiga banduan menjalani hukuman di luar penjara pada 2030. 

Pengarahnya Ajidin Salleh berkata, banduan menjalani hukuman di luar penjara dengan melakukan khidmat masyarakat lebih berkesan daripada pendekatan yang sedia ada. 

Dengan itu, banduan terbabit tidak kehilangan kerja dan keluarga selain menjalani kehidupan seperti sedia kala.

“Malah, banduan yang menjalani hukuman lebih empat tahun boleh dilepaskan buat sementara waktu selepas diberi lesen oleh ketua penjara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas bermesyuarat bersama Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Datuk Fatimah Abdullah mengenai penubuhan bengkel tenunan songket Sarawak kepada banduan di Bangunan Baitulmakmur di sini, semalam.

Menurut Ajidin, seramai 3,132 banduan yang menghuni enam enam penjara di Sarawak iaitu Puncak Borneo, Sri Aman, Sibu, Bintulu, Miri dan Limbang.

“Berbanding dahulu, banduan ditekan dengan hukuman tetapi kini lebih kepada proses pemulihan melalui khidmat komuniti.

“Malah, mereka tidak berasa dipinggirkan oleh masyarakat apabila bebas sepenuhnya,” jelasnya.

Bagi pesalah juvana pula, katanya, seramai 184 banduan lelaki menghuni Henry Gurney di Puncak Borneo yang disabitkan di bawah Akta Kanak-kanak 2001.

“Di Sekolah Integriti Kuching di Penjara Puncak Borneo pula, kita mempunyai 15 penghuni yang disabitkan bersalah oleh Mahkamah Majistret.

“Kumpulan ini kita fokus kepada pembangunan kemahiran, sukan dan akademik,” ujarnya.

Katanya, pihaknya bekerjasama dengan pelbagai agensi sepeti Giatmara, Centex, Kolej Komuniti dan lain-lain dalam usaha melengkapkan mereka dengan bidang kemahiran.

Justeru, Ajibin memberitahu, selepas bebas kelak, mereka mampu memasuki pasaran kerja dan tidak kembali ke tabiat lama.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak