Hukuman penjara cederakan polis ditambah

KUCHING: Seorang banduan yang menjalani hukuman penjara selama setahun kerana mencuri sebuah kenderaan semalam dikenakan hukuman tambahan selama 12 bulan kerana mengaku mendatangkan kecederaan serius terhadap seorang anggota polis.

Hakim Mahkamah Sesyen Marutin Pagan mengenakan hukuman berkenaan terhadap Alfonsus Chong Ah Kiong, 38, dari Kampung Sebemban, Gedong setelah tertuduh mengaku bersalah mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Alfonsus telah mendatangkan kecederaan serius terhadap pengawal lokap Balai Polis Lundu iaitu Samsuri Muhamad pada jam 6.35 petang pada 29 Mei lalu.

Mengikut fakta kes, pada 29 Mei 2019 kira-kira jam 6.35 petang semasa bertugas sebagai pengawal lokap Balai Polis Lundu dan ketika hendak memberi makan malam kepada suspek tiba-tiba suspek telah menyerang dan mencederakan mangsa dengan bersenjatakan serpihan kayu bingkai pintu tandas bagi tujuan untuk melarikan diri dari tahanan.

Suspek telah direman bersabit kes pecah rumah dan curi kenderaan dan tangkapan keatasnya telah dibuat pada 24 Mei 2019 jam 10 15 malam.

Akibat serangan didalam lokap itu, mangsa yang parah dikejarkan ke hospital Lundu dan menerima 12 jahitan di kepala.

Dalam rayuannya sebelum dijatuhkan hukuman, Alfonsus meminta hakim mengenakan hukuman yang lebih ringan memandangkan ketika kejadian mangsa telah menyebabkannya hilang pertimbangan kerana dia diejek bagaimanapun dia meminta maaf dan tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi.

Pendakwaan kes dikendalikan timbalan pendakwaraya Nor Azhari Mohd Yusof manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak