Ibu mohon maaf

KUCHING: Saya memohon maaf kepada rakyat Sarawak atas apa yang telah berlaku sehingga mencetus kebimbangan umum, kata Dayang Suraya 31 ibu kepada Dayang Nurul Aina Najwa 10 yang dipercayai hilang bersama-sama makciknya dalam kejadian dilaporkan petang semalam.

Ibu mangsa dalam status Facebooknya menggunakan nama Dayang Sueraya mengakui berita penculikan sengaja direka oleh salah seorang adik iparnya.

“Pengadu ialah kakak kepada individu yang bersama anak saya. Dia mendakwa melihat kejadian ketika dalam perjalanan ke gerai kami di Jalan Matang.

“Tetapi laporan itu palsu. Kami memohon maaf kepada semua yang terlibat,” katanya bersyukur anaknya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kisah penculikan dua remaja berkenaan yang berusia 17 tahun bersama-sama anak saudaranya berusia 10 tahun telah tular selepas keluarga mangsa melaporkan kejadian itu pada jam 5 petang di Balai Polis Gita.

Malah perkongsian berita berkenaan pada laman Facebook Suara Sarawak mendapat hampir 2,000 perkongsian selain berita susulan sehingga berita pengesahan daripada polis bahawa ia palsu.

Sebelum kejadian, Dayang Nurul dilaporkan bersama-sama makciknya Dayang Siti Nur Safiqah,17, dipercayai dilarikan dua lelaki bertopeng menggunakan sebuah van berwarna putih sekitar jam 3 petang semalam dalam kejadian di Jalan FAC Matang.

Kejadian juga disahkan oleh Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan, dan memberitahu Ops Tutup iaitu sekatan jalan raya sudah dilancarkan di seluruh kawasan Padawan untuk mengesan mangsa.

Bagaimanapun, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Dev Kumar malam semalam mengesahkan ia sebagai laporan palsu.

“Laporan palsu. Ada laporan polis tapi laporan yang dibuat tidak betul,” katanya kepada Suara Sarawak, semalam.

Kedua-dua mangsa jelas Dev disahkan melarikan diri dari rumah kakaknya.

“Kakak mangsa cuba untuk memanipulasikan berita lari dari rumah dengan melaporkan berita mangsa diculik oleh sebuah van bewarna putih.

“Setelah disiasat, akhirnya kakak mangsa mengaku membuat laporan palsu kononnya mangsa diculik. Sebaliknya mangsa telah melarikan diri dari rumahnya,”katanya.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak