Operasi buru 80 anggota PDRM: kemungkinan ada pegawai polis jadi pengedar dadah

KUCHING: Kemungkinan ada pegawai dan anggota PDRM Sarawak terlibat dalam sindiket pengedaran dadah tetapi dalam kumpulan kecil, kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak.

Datuk Dev Kumar berkata, justeru 80 pegawai dan anggota PDRM Kontinjen Sarawak disenaraikan sebagai suspek kerana dipercayai terlibat penyalahgunaan dadah.

Katanya, daripada semua senarai tersebut, disahkan dua anggota sudah ditahan selepas saringan air kencing mereka didapati positif dadah jenis syabu.

“Kedua-dua anggota terbabit berpangkat lans koperal masing-masing bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan dan IPD Kuching.

“Anggota IPD Kuching itu ditahan kelmarin manakala anggota IPD Kota Samarahan ditahan 13 Ogos lalu, menerusi Ops Blue Devil yang dilancarkan pada 13 Ogos lalu bagi membanteras penyalahgunaan dadah dalam PDRM,” katanya,

Dev menjelaskan, PDRM perlu membersihkan rumah sendiri dahulu sekiranya mahu memerangi sepenuhnya kegiatan penyalahgunaan dadah.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Serah Terima Tugas Ketua JSJN Kontinjen Sarawak di IPK Sarawak di sini, semalam.

Mengulas lanjut mengenai dua anggota ditahan, Dev berkata pihaknya sedang menunggu keputusan rasmi laporan patologi sampel air kencing mereka dan sekiranya ujian kedua itu juga positif, tindakan akan diambil.

“Kalau laporan patologi positif, mereka boleh dituduh di mahkamah dan dipecat. .

“Kami tidak menafikan kemungkian ada pegawai yang jadi pengedar, tetapi cuma dalam kumpulan kecil.

“Sebab itu kami mahu membersihkan rumah sendiri dahulu sebelum betul-betul memerangani masalah penyahgunaan dadan di luar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata masalah penyalahgunaan dadah di Sarawak membimbangkan.

Justeru, katanya operasi bersepadu akan terus dilancarkan melibatkan kerjasama JSJN dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) untuk memerangi sepenuhnya kegiatan penyalahgunaan dadah.

“Kami sedar penyalahgunaan dadah turut berleluasa di kawasan luar bandar dan rumah panjang.

“Oleh sebab itu, kami meletakkan fokus memerangi pengedar dan pembekal kerana kalau tangkap penagih sahaja tidak guna,” katanya.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak