Pasar tamu Mukah akan dinaik taraf

MUKAH: Walikota, Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM), Kadir Jamil menjelaskan dalam masa terdekat pihaknya akan menaik taraf kawasan pasar tamu Mukah bagi memastikan keselesaan kepada pengguna dan para penjual.

Katanya segala cadangan dan permasalahan yang diutarakan oleh pengguna mahupun penjual dalam lawatannya semalam ke pasar tersebut akan dilaksanakan.

“Kita memang akan ambil tindakan, kerana setiap permasalahan yang berlaku dilihat logik oleh pihak majlis, dan segala cadangan itu kita akan laksanakan.

“Kini pihak majlis akan menaiktaraf kawasan tamu, dan pihak kontrak telah kita lantik, manakala aktiviti menaiktaraf akan dibuat dalam masa terdekat kira-kira pada bulan depan,” katanya ketika ditemui pemberita semasa lawatannya ke pasar tamu dan pasar basah Mukah semalam bersama pihak MDDM.

Tambahnya sementara itu apabila kerja menaik taraf dibuat nanti, para penjualan akan dipindahkan ke tempat yang sesuai, naik taraf ini termasuklah kawasan berdekatan dengan tandas awam kerana jelasnya peruntukan telah disediakan khas dan ia bakal dibuat secepat mungkin.

Kepada peniaga katanya tiada alasan lagi bagi mereka tidak mempunyai tempat berniaga di pasar Mukah.

“Kita telah sediakan tempat untuk mereka dan yang apa yang penting mereka perlu mematuhi arahan daripada pihak penguatkuasa dan pihak kesihatan dengan mematuhi sebarang arahan yang dibuat, selain mereka juga perlu menjaga kebersihan di kawasan tempat niaga.

“Sehingga kini tidak lagi berlaku masalah kesesakan terutama melibatkan perjalanan trafik di hadapan pasar basah dan pasar kering, kerana pihak MDDM telah memindahkan penjual Durian ke lokasi baru,” ujarnya.

Dalam pada itu, langkah memindahkan penjual yang menjual di tapak letak motosikal minggu lalu ke kawasan tapak baru itu katanya diterima baik oleh semua pihak, tambahan dengan kawasan tempat letak kereta yang banyak memudahkan semua pihak dapat membeli terus pada musim Durian ini.

“Tapak baru itu akan digunakan secara bermusim dan bukan tetap misalnya untuk musim tertentu seperti musim Dabai, Durian, Rambutan dan sebagainya, selepas habis musim tersebut ia akan kembali seperti sediakala kepada pengguna lain.

Dalam perkembangan sama beliau turut menyeru kepada warga Mukah agar mengetahui bahawa kini terdapat satu kawasan tapak baru khas kepada penjaja buah-buahan yang bermusim iaitu di kawasan letak parkir kenderaan di pasar Mukah.

Selain itu, beliau juga menjelaskan pihaknya akan mencari jalan terbaik bagi mencari lokasi yang tepat kepada penjual yang menjalankan peniagaan berasaskan bakar seperti ikan bakar, ayam, ikan salai dan sebagainya bagi keselesaan semua.

“Kita akan melihat dan memikirkan tapak yang sesuai namun tapak itu mestilah strategik kerana ia mempengaruhi peniaga dan pembeli kita tidak mahu mereka terselindung, kita mahu semua usaha ini lebih kepada mesra kepada peniaga dan pengguna , dan kita tidak mahu menyusahkan mana-mana pihak,” tegasnya.

 

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak