Pengguna jalan raya positif dadah ditahan

SERIAN: Seramai 10 orang ditahan kerana disyaki positif dadah jenis syabu dalam sekatan jalan raya di Stesen Penguatkuasaan, Rayang di sini semalam.

Sekatan jalan raya itu merupakan operasi bersepadu yang dijalankan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Serian dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Serian dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Serian, yang mensasarkan semua pengguna jalan raya.

“Dalam operasi ini, seramai 31 orang pengguna jalan raya telah diarahkan menjalani saringan air kencing dan 10 orang didapati positif syabu,” kata AADK Serian dalam kenyataan, semalam.

Tambah kenyataan itu lagi, kesemua mereka ditahan di bawah Akta Penagih Dadah 1983, Pindaan 1998.

Turut serta dalam operasi tersebut ialah seramai anggota trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian, kakitangan Jabatan Alam Sekitar dan  Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).

 

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak