‘Water bombing’ bakal digunakan untuk padam kebakaran belukar, tanah gambut di Kejatau

SRI AMAN: Kaedah ‘water bombing’ dijangka digunakan untuk memadam kebakaran belukar dan tanah gambut di kawasan Kejatau dekat sini.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Tiga Sri Aman PgB Nik Muhammad Afiq Nik Roslan memberitahu, pihaknya sudah mendapatkan pengesahan daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk operasi memadam menggunakan pesawat.

Menurutnya, kebakaran belukar dan tanah gambut yang dianggarkan seluas 27 hektar di kawasan Kejatau berkemungkinan menjadi punca peningkatan Indeks Pencemaran Udara (IPU).

“Kawasan tersebut sukar dipadamkan ekoran ia agak jauh iaitu kira-kira 1,000 meter dari Simpang Kejatau dan tiada akses ke lokasi,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.

Jelasnya, bantuan melalui udara iaitu ‘water bombing’ bakal diaplikasikan seperti mana dilaksanakan di Miri beberapa hari lalu.

Operasi dijangka dilakukan hari ini sekiranya tiada halangan.

Sehingga 12:00 tengah hari tadi, IPU Sri Aman dicatatkan pada bacaan 258 (sangat tidak sihat).

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak