DARO: Enam sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah PPRT yang didiami mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Hilir Semop, petang tadi.

Pusat Operasi Gerakan Bomba Sarawak memberitahu, insiden kira-kira 3.20 petang itu nyaris meranapkan sebuah lagi rumah yang berhampiran.

Bagaimana pun kediaman kedua yang didiami tujuh penghuni hanya terbakar 10 peratus dan berjaya dipadamkan oleh penduduk kampung.

“Kesemua penghuni rumah ini terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya kepada media.

Menurut jurucakap itu, penduduk kampung memadam api dengan menggunakan air sungai yang dipam dari kapal ikan.

Katanya, Bomba bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan pada 3.31 petang.

“Kita melakukan pemadam susulan bagi mengelak kebakaran berulang. Operasi tamat pada 5.38 petang.

“Jumlah kerugian dan punca sebenar kejadian ini masih dalam siasatan,” ujarnya.

Penduduk bantu padam kebakaran.

 

Penduduk membantu membersihkan sisa kebakaran di Kampung Semop.

 

Keadaan rumah yang terbakar di Kampung Semop petang tadi