BINTULU: Pasukan Polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu berjaya menahan dua lelaki warga asing dan merampas dadah seberat 6.8 gram dengan nilai pasaran RM1, 500 di sebuah hotel bajet di sini, awal petang tadi.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili berkata serbuan kira-kira jam 1 petang itu, dalam bilik sebuah hotel bajet di Jalan Masjid, polis menahan dua lelaki berumur 24 dan 28 tahun disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.

Hasil pemeriksaan teliti ke atas sabjek dan dalam bilik hotel bajet terbabit, katanya, pihak polis telah menjumpai satu peket plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah Methamphetamine atau syabu dengan berat kasar 6.8 gram, di dalam beg warna hitam atas lantai.

Manakala, hasil ujian saringan awal, mendapati kedua-dua sabjek negatif dadah selain tiada mempunyai rekod kesalahan lampau.

Kedua-dua saspek disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana jika sabit kesalahan, boleh dikenakan penjara tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi lima tahun dan sebatan tidak kurang tiga kali atau tidak lebih sembilan kali.