KUCHING: Seramai 910 individu berjaya ditahan terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah di Sarawak sepanjang Ogos tahun ini.

Perkara tersebut telah dikeluarkan oleh Ketua Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Superintendan Hasnir Abdul Hamid melalui sebuah kenyataan media semalam.

Jelasnya, kesemua 910 individu berkenaan telah ditahan di atas pelbagai kesalahan melibatkan aktiviti kegiatan dadah.

“41 individu ditangkap dibawah kategori bekalan, 217 orang ditahan dalam kategori memiliki serta 598 individu ditahan melibatkan kategori urin positif.

“Sementara itu, seramai 54 orang disyaki pengedar dadah turut ditangkap dibawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah Langkah Pencegahan Khas) 1985,” katanya dalam kenyataan terbabit.

Dalam pada itu, Hasnir turut menyatakan bahawa pihaknya turut menyita beberapa harta pelbagai jenis disyaki diperoleh daripada aktiviti pengedaran dadah.

“Lebih RM3.9 juta nilai rampasan harta pelbagai jenis daripada aktiviti pengedaran dadah telah dilakukan sepanjang awal Januari hingga Ogos ini.

“Kesemua harta rampasan dan sitaan telah mengikut peruntukan dibawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988,” katanya lagi.

Sehubungan dengan itu, Hasnir dalam kenyataan berikut turut berterima kasih terhadap sokongan dan kerjasama daripada orang awam dalam sama-sama membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah dengan menyalurkan maklumat kepada pihak polis.