MUKAH: “Semangat perpaduan haruslah kita semai dalam diri anak-anak, sejak dari langkah pertama mereka menjejakkan kaki dalam alam persekolahan,” jelas Adun Balingian Abdul Yakub Arbi.

Sehubungan itu, katanya penganjuran julung-julung kali Karnival Sukan Saberkas (KASUS) peringkat Cawangan Balingian telah mengeratkan lagi ikatan perpaduan dalam kalangan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

Katanya sebagaimana pelaksanaan KASUS tersebut menunjukkan Saberkas memenuhi peranannya sebagai pertubuhan yang mendukung setiap aspirasi yang membawa kebaikan kepada masyarakat.

“Ia sama seperti yang telah kita lakukan pada hari ini dengan mengumpulkan anak-anak kecil bersama-sama dengan golongan dari pelbagai peringkat umur yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dalam satu aktiviti sihat.

“Secara tidak langsung ianya telah menjadi satu contoh yang amat sesuai dalam memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat kita, tidak bernilai erti sebuah perpaduan kalau kita sendiri tidak mempertahahankannya,” katanya berucap dalam majkis perasmian KASUS di Padang Mesra Mukah.

Tambahnya dengan KASUS tersebut dapat mencungkil bakat-bakat sukan dan kepimpinan dalam kalangan ahli Saberkas dan belia-belia setempat khasnya.

“Di samping itu, kita menyahut seruan Presiden Saberkas iaitu Ketua Menteri untuk menjadikan Sarawak sebagai kuasa sukan di Malaysia.

“Ini dapat menjadikan Saberkas sebagai agen pembantu pembangunan sukan Sarawak melalui pelaksanaan acara-acara sukan berprestij tinggi seperti Futsal, Badminton serta Bola Jaring dan turut menjadi tumpuan ialah e-sport yang semakin diminati golongan belia terutamanya kini,” ujarnya.

Sebanyak 11 acara telah dipertandingkan untuk program tiga hari tersebut termasuk tiga acara utama KASUS iaitu futsal, badminton dan bola jaring, dan tahun hadapan tiga sukan ini akan dipertandingkan pada peringkat negeri dalam perancangan pihak Saberkas Negeri Sarawak.

Dalam pada itu Abdul Yakub Arbi bersama dengan Setiausaha Eksekutif Ibu Pejabat Saberkas Sarawak Iszuan Haroni turut berkesempatan menyampaikan hadiah kepada pemenang bagi acara-acara yang dipertandingkan.