DARO: Semangat kerjasama dan muafakat menjadi kunci kejayaan Surau Darul Ihsan Kampung Badong merangkul anugerah sempena sambutan Maal Hijrah 1441H peringkat negeri Sarawak.

Tambah manis apabila Darul Ihsan menjadi surau pertama di bahagian Mukah menerima anugerah Pengurusan dan Pentadbiran Surau Terbaik.

Berkongsi kegembiraan, Pengerusi Surau, Abang Shamsure Abang Wahab, berkata, anugerah itu merupakan pengiktirafan dan kejayaan terbesar kepada seluruh ahli jawatankuasa surau berkenaan.

“Surau Darul Ihsan yang dibina tahun 2000 mampu menampung 100 jemaah. Sudah pasti, pencapaian ini menjadi detik bersejarah bagi Kampung Badong khususnya dan daerah Daro amnya,” katanya kepada wartawan Suara Sarawak.

Abang Shamsure berkata, jawatankuasa sering bertukar pandangan dan berbincang mengenai urus tadbir surau manakala pejabat Agama Islam Daerah Daro pula bertindak sebagai badan perujuk urus tadbir surau.

Abang Shamsure (kiri) dan pegawai surau, Abu Huzaifah Latip menunjukan anugerah yang diraih Surau Darul Ihsan Kampung Badong

Malah katanya, kerjasama agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memudahkan mereka untuk melaksanakan pelbagai aktiviti.

Melalui permuafakatan itu ujarnya, jawatankuasa mampu memperkasakan peranan dan mengimarahkan surau dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat termasuk turun padang mendekati masyarakat.

“Selain menyemarakkan program Peduli Ummah Kami Prihatin membantu asnaf, kami juga tidak melupai golongan muda melalui penganjuran pelbagai aktiviti yang bersesuaian dengan kehendak mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, Abang Shamsure berkata, jawatankuasa surau sentiasa mengambil langkah proaktif bagi memastikan keselesaan dengan menyediakan pelbagai kelengkapan yang diperlukan jemaah termasuk laluan kerusi roda untuk Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Kami tidak lupa menyediakan kit pertolongan kecemasan, set kelengkapan jenazah, sudut bacaan, tempat letak kenderaan awam dan OKU, gelanggang bolasepak, alat pemadam api dan lain-lain lagi.

“Malah segala perbelanjaan dicatat dalam buku rekod perbelanjaan harian, termasuk resit dan bil diletakkan dalam fail khas bagi memudahkan pengurusan selain sasaran semakan audit dalaman dan pengesahan perbelanjaan kewangan dalam tempoh tiga hingga enam bulan sekali.

“Sementara wang yang tidak ada keperluan perbelanjaan pula akan disimpan ke dalam akaun surau,” katanya.

Sehubungan itu, Shamsure merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu jawatankuasa surau berkenaan.

“Terima kasih atas bekerjasama badan NGO seperti JKKK, Kemas, CMS, Agrobank, Pertiga, Kelab Pemotoran 5th, Kesuja Jais termasuk pihak media yang banyak membantu mempromosikan aktiviti kami,” tambahnya.

ADUN N.43 Daro, Safiee Ahmad menyampaikan sijil kepada peserta korban aqiqah.

 

Aktif menganjurkan aktiviti kemasyarakatan