BINTULU: Kekangan kewangan antara faktor kurangnya penganjuran aktiviti di peringkat Parti Keadilan Rakyat(PKR) Cabang Hulu Rajang.

Perkara itu dinyatakan Ketua Cabang PKR Cabang Hulu Rajang Abun Sui Anyit pada Mesyuarat Agung Tahunan Cabang(MATC) PKR Hulu Rajang di salah sebuah hotel di sini, petang tadi.

Tidak seperti Gabungan Parti Sarawak(GPS) yang kita tahu mempunyai peruntukan besar bagi membolehkan pihak berkenaan menganjurkan program atau aktiviti dalam skala yang besar, katanya.

Ekoran kekangan kewangan serta geografi menyebabkan beliau tidak bersetuju dengan cadangan setiausaha PKR Pusat supaya mesyuarat diadakan sebulan sekali, sebaliknya, Abun meminta agar ia diadakan sekali dalam tempoh dua bulan.

Pada masa yang sama, Abun meminta semua ahli PKR Cabang Hulu Rajang melupakan sengketa termasuk sekiranya mempunyai perbezaan ideologi atau fahaman dengan menumpukan kepada perjuangan parti serta membela nasib rakyat di kawasan berkenaan.

Abun turut mengingatkan ahli supaya tidak lupa diri dengan kuasa yang diberikan kepada rakyat, sebaliknya perlu menggunakan mandat yang diberikan untuk terus berkhidmat.

Kira-kira 50 ahli PKR Cabang Hulu Rajang menghadiri MATC P.216 Hulu Rajang, petang tadi.

PKR Cabang P. 216 Hulu Rajang mempunyai keahlian seramai 3,000 orang setakat ini.