KUCHING: Kualiti udara dua bahagian di Sarawak semakin merosot setakat jam 4 petang ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Mejar Ismail Mahedin berkata, dua bahagian terbabit ialah Kuching dan Samarahan apabila mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sangat tidak sihat masing-masing 216 dan 201.

“Lima kawasan lagi mencatatkan IPU tidak sihat iaitu Sri Aman (178), Sarikei (134), Miri (150), SK Baram (114) dan ILP Miri (115).

“Enam kawasan pula merekodkan IPU sederhana iaitu Bintulu (87), Samalaju (83), Kapit (63), Limbang (73), Mukah (98) dan Sibu (96),” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, jumlah titik panas di Sarawak ialah enam apabila menurun sekali ganda berbanding semalam.

“Bagaimanapun, jumlah titik panas di negara jiran Indonesia kekal 1,041 di Kalimantan dan 134 di Sumatera,” ujarnya.