KUCHING: Seorang lelaki ditahan setelah disyaki memiliki dadah dalam satu serbuan di Kampung Haji Baki Rabu lalu.

Suspek berumur 32 berjaya ditahan oleh Polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan Dadah (BSJND) Padawan di hadapan sebuah bengkel motosikal di kawasan tersebut.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan berkata hasil pemeriksaan mendapati suspek yang ditangkap telah membawa ketulan Syabu seberat bernilai RM60.

“Polis menemui ketulan syabu dianggarkan seberat 0.3 gram ada bersama dengan suspek ketika serbuan dijalankan.

“Suspek telah ditahan reman selama empat hari sehingga 9 September ini,” jelas beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Aidil, kes disiasat dibawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun.

Dalam pada itu, beliau turut berharap agar masyarakat memberikan kerjasama dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan dadah kepada BSJND Padawan bagi membendung masalah tersebut bersama-sama.

Suspek ditahan bersama dadah jenis syabu seberat 0.30 gram