KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) menasihatkan orang ramai agar mengambil langkah berjaga- jaga bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu terutamanya Bahagian Kuching yang telah mencatatkan bacaan IPU melebihi 200 sejak 7 September lepas bermula pada pukul 6.00 pagi.

Pengarah JKNS, DR. Jamilah Hashim menasihatkan agar orang ramai mengurangkan aktiviti fizikal di luar rumah, banyakkan minum air sekurang-kurangnya lapan gelas sehari, gunakan penutup muka apabila melakukan aktiviti luar rumah dan kerap membasuh muka bagi bahagian yang terdedah kepada jerebu.

“Saya menyarankan bagi mereka yang mengalami penyakit seperti batuk, selsema, asma, sakit mata, jangkitan paru-paru yang kronik hendaklah datang ke klinik dengan segera jika penyakit bertambah teruk.

“Bagi mereka yang menggunakan kenderaan yang berhawa dingin hendaklah menghidupkan alat penghawa dingin dengan mode kitaran dalam dan menutup tingkap. Pemandu kenderaan juga dinasihatkan untuk menyalakan lampu bagi pemanduan yang selamat,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Beliau turut menasikatkan orang ramai agar mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami tanda dan gejala penyakit berkaitan jerebu seperti mata berasa pedih dan berair, gatal kerongkong dan kerap batuk, hidung berair serta bersin, sesak nafas atau sakit dada, dan kulit terasa gatal.