BINTULU: Usaha berterusan akan dijalankan dalam meningkatkan penanaman dan pengeluaran tanaman durian berkualiti tinggi di bahagian ini.

Pegawai Pertanian Bahagian Bintulu Awang Roslan Awang Hipeni berkata ini termasuk memperluaskan kawasan penanaman dan pengagihan benih pelbagai spesies durian di kalangan petani dan pekebun yang berminat untuk mengusahakan tanaman tersebut.

Menurutnya, tumpuan diberikan terhadap tanaman durian ekoran ia berpotensi untuk dieksport ke pasaran luar negara ekoran permintaan yang tinggi.

Pada tahun ini, katanya, Jabatan Pertanian Bahagian Bintulu merancang memperluaskan penanaman durian dari pelbagai spesies berkualiti seperti Hajah Hasmah, di kawasan seluas 50 hektar di Sebauh melibatkan penyertaan 50 petani dan pekebun.

Setiap peserta diagihkan sebanyak 110 benih pelbagai spesies tanaman durian, katanya ketika ditemui pada program Nay Telow Penyak Pagen 2019(Lan Berambeh Makan Durian) di Tapak Niaga Assyakirin di sini.

Program julung kali anjuran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu(PBB). N.67 Jepak dan Pusat Khidmat DUN N.67 Jepak dengan kerjasama Jabatan Pertanian Bahagian Bintulu dan NGO sekitar Bintulu ini mendapat sambutan di luar jangkaan apabila lebih 400 penduduk setempat berpusu-pusu memeriahkan program.

Sebanyak 2,000 biji durian dari pelbagai spesies seperti durian tempatan, tembaga, Hajah Rosmah yang didatangkan khas dari Bekenu disediakan secara percuma kepada pengunjung.

Pelbagai aktiviti menarik seperti Teka Berat Durian, Durian Challenge(Pertandingan Makan Durian), pertandingan Durian Terbesar dan Terbaik, masakan berasaskan durian, pameran pelbagai jenis durian antara pengisian sepanjang program yang bermula dari jam 9 pagi hingga 4 petang.

Turut diadakan juga demonstrasi cantuman tunas, jualan anak pokok durian, Durian Talk(Pengurusan Kebun Durian) dan acara cabutan bertuah.

Simbolik perasmian disempurnakan Temenggong Haji Rosli Kamaruddin mewakili Menteri Di Jabatan Ketua Menteri(Integriti dan Ombudsman) merangkap ADUN Jepak Datuk Haji Talib Zulpilip.

Awang Roslan, dalam pada itu, komited akan meneruskan penganjuran program seumpama itu di masa hadapan berikutan sambutan luar biasa pengunjung dan penduduk setempat.

SIMBOLIK… Temenggong Haji Rosli membuka buah durian menggunakan mesin sebagai simbolik merasmikan program Nay Telow Penyak Pagen 2019(Lan Berambeh Makan Durian) di Tapak Niaga Assyakirin, Bintulu.

 

MERIAH… Orang ramai tidak melepaskan peluang menikmati buah durian secara percuma
program  Nay Telow Penyak Pagen 2019(Lan Berambeh Makan Durian) di Tapak Niaga Assyakirin, Bintulu.

 

SAPA MENANG…  Durian Challenge antara aktiviti sampingan sempena program  Nay Telow Penyak Pagen 2019(Lan Berambeh Makan Durian).