KUCHING: Empat orang pemancing dikhuatiri hilang pagi semalam ditemui selamat oleh penduduk kampung hari ini.

Makluman awal kejadian melaporkan kesemua mangsa tidak balik ke rumah selepas keluar memancing di Pulau Lakei, semalam.

Setibanya laporan diterima, Maritim Negeri Sarawak telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) di perselitaran jeti Kompleks Tun Abang Salahuddin.

Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Robert Teh Geok Chuan berkata kesemua mangsa ditemui selamat di Pulau Lakei dan dihantar pulang ke Jeti Kampung Bako sekitar jam 10.30 pagi tadi.

“Keempat-empat mangsa berada dalam keadaan selamat ketika ditemui di kawasan perairan Pulau Lakei.

“Pemeriksaan lanjut mendapati mereka hanya melanjutkan masa memancing dan tidak terdapat sebarang kecemasan atau kerosakan berlaku pada enjin bot,” jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Robert berkata, operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada 10.30 pagi setelah kesemua mangsa telah diserahkan kembali kepada ahli keluarga masing-masing.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terlibat terutamanya PPM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Malaysia, serta penduduk kampung dalam memastikan mangsa pulang dalam keadaan selamat.