BAU: Seorang penganggur ditahan kerana memiliki dadah jenis ketamine seberat 17.70 gram, dianggarkan bernilai RM2,000.

Ketua Polis Daerah Bau Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata lelaki berusia 23 tahun dari Taman Siniawan itu ditahan kira-kira jam 2.15 pagi tadi, semasa rondaan cegah jenayah yang dijalankan oleh anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau.

“Suspek yang memandu sebuah kereta jenis Proton Saga ditahan di hadapan Shell Jalan Bau-Lundu kerana dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan tubuhnya tidak menjumpai apa-apa barang yang menyalahi undang-undang tetapi hasil pemeriksaan ke atas kenderaan telah menemui 22 paket dadah jenis ketamin yang disimpan di lantai tempat duduk belakang sebelah kiri keretanya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Poge menambah suspek yang tidak mempunyai rekod kesalahan lampau akan dipohon reman.

Katanya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Manakala mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM5000 atau penjara tidak melebihi dua tahun dan Perintah Pengawasan tidak kurang dua tahun dan tidak lebih tiga tahun di bawah Seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Peket mengandungi ketamine yang dirampas dari suspek