KUCHING: Kawasan Kuching mencatatkan indeks pencemaran udara (IPU) tidak sihat berjumlah 117 setakat 5 petang hari ini.

Kenyataan Jabatan Alam Sekitar Sarawak turut menunjukkan 12 lagi kawasan seluruh Sarawak merekodkan bacaan IPU dalam keadaan sederhana dari jumlah 71 hingga ke 92.

Daripada jumlah tersebut, Sibu merekodkan jumlah IPU sebanyak 92, seterusnya diikuti oleh Sri Aman dan Samarahan masing-masing berjumlah 89 dan 88.

Menurut Jurucakap Seketeriat Pengurusan Bencana negeri, Ismail Mahedin berkata penambahan titik panas di Kalimantan, Indonesia menyumbang kepada peningkatan IPU sekaligus memburukkan lagi keadaan jerebu yang sedia ada negeri ini.

Katanya, keadaan jerebu yang melanda di kawasan bandaraya Kuching berpunca daripada pergerakan angin daripada Kalimantan telah menghala ke Sarawak.

“Setakat ini (5petang), bilangan titik panas di Kalimantan direkodkan sebanyak 1307 berbanding 1605 dicatatkan semalam.

“Sementara itu, 14 titik panas dikesan sekitar kawasan negeri ini, iaitu Kuching(5), Sibu(3), Kapit (3), Limbang (2), dan Miri (1),” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut sumber Met Malaysia, ramalan cuaca pada keesokan hari menunjukkan keadaan jerebu dijangka akan berlarutan dari pagi hingga ke malam.

Dalam pada itu, Ismail turut menasihatkan orang ramai agar tidak memandang ringan keadaan jerebu serta tidak digalakkan terdedah kepada aktiviti-aktiviti luar.