SIBU: Sebuah kuarters pekerja kilang nyaris terbakar keseluruhan dalam kejadian di Jalan Ting Lik Kwong, hari ini.

Insiden terbabit menyebabkan empat pintu berstatus tidak kekal yang didiami seramai 14 lelaki dan seorang wanita warga Indonesia dipercayai pekerja kilang berkenaan terbakar 90 peratus.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah, PKPgB Suna Kaha berkata pihaknya menerima laporan 9.36 pagi sebelum menghantar sebuah jentera dan lima anggota daripada BBP Sungai Merah serta bantuan bilangan yang sama daripada BBP Sibu.

“Kebakaran melibatkan kawasan bangunan seluas 12 meter x 40 meter persegi, jadi pihak kami telah menerima bantuan daripada BBP Sibu seramai lima anggota untuk operasi pemadaman yang lebih cepat.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua 15 mangsa yang mendiami bilik kuartes tersebut disahkan selamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, operasi pemadaman daripada anggota bomba tamat pada jam 10.24 pagi setelah pemadaman dilakukan sepenuhnya.

Anggota Bomba sedang melakukan operasi pemadaman di kawasan kebakaran