SARIKEI: Berpeluang menyertai sirkit layang-layang antarabangsa bermula di Kelantan dan Labuan baru-baru ini menjadi kenangan manis yang tidak mungkin akan dilupakan dua pelayang dari Kelab Gudi Sarikei (KEGUSA).

Penglibatan dalam acara yang disertai pelayang dari seluruh dunia itu bukan sahaja membuka ruang kepada mereka untuk melebarkan jaringan tetapi lebih bermakna apabila menjulang nama Sarawak.

Sehubungan itu, Presidennya, Kaunselor Iskandar Naziri berkata, sirkit kali ini memberikan pengalaman yang sangat berbeza berbanding dengan beberapa acara yang pernah disertai mereka sebelum ini.

Apa yang lebih menarik katanya, Malaysia menonjolkan keunikan tersendiri yang berjaya mencuri tumpuan peserta dari negara luar dalam festival Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian dan Labuan itu.

“Peserta Malaysia memperkenalkan wau sebagai layang-layang tradisional bagi mengetengahkan identiti kita kepada negara luar. Sudah pasti sebagai peserta yang mewakili Malaysia kami amat bangga dengan apa yang ditonjolkan.

Iskandar (kiri) dan Arif  (kanan)bersama peserta dari Scotland.

“Antara negara luar yang menyertai festival kali ini ialah Australia, Kemboja, Brunei, Jerman, Korea Selatan, New Zealand,Thailand,Scotland dan Amerika Syarikat.Sementara pelayang Malaysia pula terdiri dari Sarawak, Kelantan, Pelayang Johor, Presiden Majlis Pelayang Malaysia(MPM), Putra Jaya dan MAS Malaysia,” katanya kepada wartawan Suara Sarawak.

Penganjuran acara itu merupakan sebahagian inisiatif mempromosikan nama Malaysia sebagai sebuah destinasi tumpuan pelancong dari seluruh dunia.

“Antara kenangan yang tidak dapat dilupakan ialah menjadi juara gabungan dalam Cabaran Rokaku ketika di Kelantan. Ahli Kegusa, Mohamad Arif Sulaiman berganding bersama peserta Thailand berjaya mencuri tumpuan apabila mengalahkan peserta antarabangsa lain.

“Pada masa yang sama, USM mencipta rekod baharu Malaysia Book Of Records apabila berjaya menaikkan 50 wau daun,” katanya.

Festival kali ini berlangsung meriah

Dalam pada itu, Iskandar memberitahu, Kegusa terus mengambil langkah proaktif bagi mengenalpasti lokasi di Sarawak yang sesuai untuk dijadikan sebagai tapak penganjuran acara berkenaan.

Setakat ini katanya, Pantai Belawai serta pantai-pantai lain Di Sarawak perlu mengikuti jejak Festival Antarabangsa Kabong yang sudah dikenali pasti berpotensi bagi penganjuran festival layang-layang antarabangsa.

“Kita pernah mengadakan festival layang-layang di dua lokasi ini dan ternyata mencatat kejayaan tidak diduga. Malah sambutannya juga cukup luar biasa. Tambahan pula Pantai Belawai dan Kabong memang menjadi tumpuan ramai, terutama pada hujung minggu.

“Hasrat kita mahu membantu Kerajaan Sarawak menarik lebih ramai kehadiran pelancong, sekaligus melonjakkan sektor pelancongan tempatan yang berupaya melonjak pendapatan peniaga tempatan.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Wau Sarawak dan Majlis Pelayang Malaysia yang sentiasa memberikan sokongan kepada kami,” ujarnya.

Beliau menambah, sirkit antarabangsa tahun depan bermula di Satun,Thailand serta Pasir Gudang sebelum ke Kabong, Sarawak dan mungkin ke Brunei.

Ia mungkin sirkit lebih panjang yang pastinya memerlukan kekuatan mental dan fizikal. Kita juga mengharapkan sokongan semua bagi merealisasikan impian ini,” tambahnya.

Antara layang-layang yang dipersembahkanoleh KEGUSA.