BINTULU: Ikan pari harimau seberat 3.25 kilogram membawa tuah kepada Ahmad Masdudi Musa setelah dinobatkan sebagai juara pertandingan Memancing Terbuka 2019(Menyilem Latik 3.0) di Pantai Batu Mandi, Jalan Taman Negara Similajau, di sini.

Walaupun terpaksa panas terik dan cuaca agak berjerebu, ia tidak sedikit pun membuatkan Ahmad Masdidi dari Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam berganjak sehingga berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM12,000 dan mengalahkan 353 peserta lain.

Pemenang kedua, Ambah Anak Alex dari Bintulu membawa pulang RM2,500 apabila berjaya mendaratkan ikan pari harimau seberat 3.10 kilogram.

Haji Zulkaimi Haji Kinin pula mendapat tempat ketiga dengan hadiah wang tunai RM1, 500 selepas berjaya mendapat ikan manong seberat 0.95 kilogram.

Majlis penutup dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Samalaju Majang Renggi yang turut menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan siri ketiga itu.

UNTUK ALBUM… Majang merakamkan gambar bersama jawatankuasa penganjur dan pemenang pertandingan Memancing Terbuka 2019(Menyilem Latik 3.0) di Pantai Batu Mandi.

Hadir sama pengerusi Persatuan Anaq Va’ie Bintulu Pandi Suhaili, Timbalan Residen Bahagian Bintulu Hussaini Hakim, Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Bintulu Azman Abdul Rahman.

Sementara itu, Pandi berkata, pertandingan ini membuka ruang kepada seluruh penduduk di negeri ini, khasnya dan Bintulu, amnya menyertai pertandingan tersebut selain mengeratkan silaturahim antara masyarakat.

Berikutan sambutan di luar jangkaan, beliau berkata program seumpama akan terus diadakan di masa depan dengan lokasi penganjuran di tempat yang sama atau berlainan.

Program anjuran Persatuan Anaq Va’ie Bintulu ini bertujuan mempromosikan sukan memancing di kalangan kaki pancing serta sebagai satu platform untuk mempromosikan Pantai Batu Mandi kepada penduduk sekitar.

TAHNIAH… Majang menyampaikan hadiah kepada johan pertandingan Memancing Terbuka 2019(Menyilem Latik 3.0), Ahmad Masdudi.