BINTULU: Alhamdulillah, kemenangan ini seperti rezeki terpijak kerana ini kali pertama saya memenangi hadiah sebesar ini menyebabkan saya tidak percaya mengalahkan 353 peserta lain, kata Ahmad Masdudi Musa yang menjuarai pertandingan Memancing Terbuka 2019(Menyilem Latik 3.0).

Kaki pancing dari Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam itu berkata, dia telah menyertai pelbagai pertandingan memancing di merata – rata tempat termasuk Labuan, Sibu dan Bintulu, , namun hadiah yang dimenanginya kali ini adalah yang terbesar pernah diterimanya.

“Hadiah itu untuk keluarga dan rakan-rakan kaki pancing. Saya tidak akan berhenti dan akan terus menyertai pertandingan memancing kerana ini sudah menjadi hobi saya,” katanya.

Pada pertandingan itu, Ahmad Masdudi berjaya mendaratkan ikan pari harimau seberat 3.25 kilogram.

Kemenangan tersebut melayakkan beliau membawa pulang wang tunai RM12, 000 berserta peralatan memancing.

Tempat kedua dimenangi Ambah Anak Alex dari Bintulu membawa pulang wang tunai RM2,500 dan peralatan memancing apabila berjaya mendaratkan ikan pari harimau seberat 3.10 kilogram.

Haji Zulkaimi Haji Kinin pula mendapat tempat ketiga dengan hadiah wang tunai RM1, 500 selepas berjaya mendapat ikan manong seberat 0.95 kilogram.

Majlis penutup dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Samalaju Majang Renggi yang turut menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan siri ketiga itu anjuran Persatuan Anaq Va’ie Bintulu.

Hadir sama pengerusi Persatuan Anaq Va’ie Bintulu Pandi Suhaili, Timbalan Residen Bahagian Bintulu Hussaini Hakim, Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Bintulu Azman Abdul Rahman.

BANGGA… Ahmas Masdudi bersama hadiah yang dimenangi dalam pertandingan Memancing Terbuka 2019(Menyilem Latik 3.0) di Pantai Batu Mandi, Jalan Taman Negara Similajau Bintulu.