KUCHING: Seorang lelaki dipercayai terlibat dalam penyalahgunaan dadah ditahan polis di kawasan Jalan Sungai Apong semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak, Superintendan Hasnir Abdul Hamid berkata serbuan dilakukan kira-kira jam 1.35 tengah hari di sebuah rumah kawasan jalan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan di bahagian tandas rumah suspek menjumpai empat peket plastik disyaki dadah Methamphetamine dalam saluran air tandas.

“Kesemua peket dianggarkan seberat 5.34 gram itu bernilai RM510.

“Pemeriksaan lanjut turut mendapati suspek disahkan positif dadah Methamphetamine setelah ujian saringan awal air kencing dilakukan,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, suspek telah ditahan dan dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan Dadah Kuching untuk tindakan lanjut.

Tambah Hasnir, suspek yang tidak mempunyai rekod masalah lampau itu kini di dalam proses permohonan reman.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan suspek boleh dikenakan penjara tidak lebih lima tahun dan tidak melebihi sembilan sebatan.

Ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu seberat 5.34 gram berjaya dirampas milik suspek