KUCHING: Lima buah Sekolah Kurang Murid (SKM) dalam daerah Tebedu akan digabungkan menjadi sekolah berpusat pertama di Sarawak.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata sekolah-sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Gahat Mawang, SK Daha, SK Kujang Mawang, SK Kujang Sain dan SK Tesu.

“Walaupun agak mencabar kerana tidak semua pihak mahu melakukan penggabungan sekolah tetapi dengan bantuan kerajaan Sarawak dan Jabatan Pendidikan Negeri, kita akan memulakan penggabungan yang pertama iaitu di Tebedu membabitkan lima buah sekolah,” katanya semasa melawat ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Tapang di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Michael Manyin Jawong dan Pengarah Pendidikan Sarawak, Dr Azhar Ahmad.

Kesemua sekolah berkenaan akan ditutup dan dipindahkan ke sekolah baharu SK Kujang Mawang.

Tender untuk pembinaan sekolah baharu berasrama di tapak seluas 10 ekar berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebedu itu dijangka dikeluarkan penghujung tahun ini, membabitkan peruntukan dianggarkan lebih kurang RM30 juta.

Maszlee semasa melawat ke projek pembinaan sekolah di SMK Sungai Tapang di sini, hari ini.