SARIKEI: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mempunyai kekuatan tersendiri dan berani membuat perubahan demi kelangsungan perjuangannya membela nasib rakyat negeri ini.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh berkata, pembangunan dan kestabilan yang dinikmati hari ini adalah hasil perjuangan Kerajaan Sarawak yang mempunyai struktur kuat dan berjaya meletakkan perjuangan di landasan yang betul.

Kejayaan itu katanya, bermula era pada Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud (kini Yang di-Pertua Negeri Sarawak) kepada Allahyarham Tok Nan dan seterusnya Abang Jo.

“Perjuangan kita berjaya menstabilkan politik sekaligus memberi ruang kepada kerajaan membangunkan Sarawak seperti sekarang. Dalam erti kata lain, kita mampu berdiri atas kaki sendiri malah terbukti apabila berjaya melaksanakan pelbagai projek untuk rakyat yang sebelum ini ditarikbalik oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Antaranya ialah pembinaan jambatan dan jalan pesisir yang bernilai lebih RM11 bilion membina rangkaian jalan pesisir di Sarawak. Kerajaan Sarawak tidak punya pilihan meneruskan perlaksanaannya kerana kemudahan itu sangat diperlukan rakyat terutamanya di pedalaman dan luar bandar,” katanya kepada wartawan Suara Sarawak.

Len Talif (tengah) bersama penduduk ketika sesi lawatan ke Bukit Kinyau

Beliau yang juga ADUN N.41 Kuala Rajang berkata, kerajaan GPS berupaya membina pelbagai infrastruktur lain termasuk bekalan api dan air bersih ke kawasan luar bandar kerana kestabilan politik Sarawak.

Ujarnya, pengalaman sepanjang 55 tahun di bawah Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang pernah dipimpin oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Keempat dan sekarang Perdana Menteri Ketujuh memberi banyak pengalaman.

Malah katanya, kemakmuran bersama memang sudah dipelopori oleh Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri yang pertama dan diterjemahkan dalam 18 perkara untuk Sarawak dan 20 perkara untuk Sabah.

Bagaimanapun katanya, ia tidak memberi pulangan optima bahkan, beberapa perkara penting yang termaktub di bawah perjanjian MA 63 banyak yang terhakis.

“Saya juga ingin menyentuh isu perlantikan Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat (KMKK), Kerajaan Persekutuan tidak perlu masuk campur kerana kita mempunyai prosedur tersendiri dalam melaksanakan perkara ini.

“Sistem itu bukan sahaja berjalan dengan baik tetapi juga membentuk keharmonian dalam kalangan masyarakat Sarawak. Menteri yang berkaitan perlu berfikir terlebih dahulu kerana cadangan untuk melantik tuai rumah, ketua masyarakat dan ketua kampung di Sarawak dari kalangan PH adalah tidak munasah dan boleh menimbulkan perpecahan selain dilihat sebagai taktik ‘divide and rule,’ katanya.

Kenyataan itu ujar beliau, mencerminkan bahawa orang luar tidak arif mengenai sistem lama yang diamalkan oleh Kerajaan Sarawak dalam melantik pemimpin.

“Mungkin ada hikmah di sebalik kekalahan BN pada PRU14 kerana bermula daripada detik itu, kita membentuk kerjasama baharu di bawah gagasan GPS yang betul- betul bebas untuk menentu halatuju kita sendiri dengan berpaksikan Utamakan Sarawak,” tambahnya.

ADUN N.41 Kuala Rajang, Datu Len Talif Salleh meninjau salah satu rumah penduduk di Bukit Kinyau.

 

Bersama pemimpin masyarakat dalam satu program di tapak pesta Belawai.