MUKAH: Semua masyarkat dialu-alukan untuk turut serta dalam program Local Agenda (LA21) dan Khidmat Masyarakat anjuran Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM) dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tellian Permai, Kampung Seri Tellian dan Kampung Tellian Ulu pada 20 hingga 21 September ini di Dewan Serbaguna Kampung Seri Tellian.

Menurut Ketua Kampung Tellian Tengah dan Seri Tellian, Bonaventure Juana Lupieh program tersebut bertujuan untuk mengajak semua penduduk kampung sekitar tentang kesedaran kebersihan kawasan rumah masing-masing.

“Aktiviti gotong-royong akan melibatkan aktiviti membersih kawasan persekitaran rumah masing-masing pada sebelah pagi pada hari pertama, dan semua masyarakat diminta untuk meletakkan sampah dan peralatan rumah yang tidak lagi dapat digunakan dan tidak terpakai ditepi jalan untuk memudahkan pihak MDDM mengangkut sampah tersebut.

“Manakala pada sebelah malam pada jam 8 malam, acara hiburan pentas terbuka termasuk pertandingan karaoke tertutup akan diadakan, termasuklah cabutan bertuah kepada semua penduduk yang hadir,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.

Bersama sertai Program LA21 dan Khidmat Masyarakat di Kampung Seri Tellian 20 hingga 20 September ini.

Tambahnya pada hari kedua pada 21 September semua penduduk dari ketiga-tiga kampung berkenaan dijemput hadir ke acara pameran, saringan kesihatan dan ceramah serta demonstrasi akan diadakan melibatkan 14 buah agensi kerajaan.

“Antara agensi yang terlibat ialah Pihak Polis Di Raja Malaysia, Pejabat Kesihatan, Jabatan Pertanian dan ramai lagi, menerusi pertemuan ini ia dapat memberi peluang kepada semua masyarakat mengenali dan memahami peranan setiap agensi kerajaan dengan lebih dekat.

“Sepanjang sesi ceramah diadakan hadiah cabutan tiket bertuah juga diberikan kepada pengunjung yang hadir,” ujarnya.

Beliau berharap semua masyarakat dapat turut serta menjayakan program berkenaan disamping bersama-sama menjaga kebersihan dan kesejahteraan untuk kebaikan bersama.

Dalam perkembangan sama katanya sehingga semalam bersempena dengan program tersebut katanya aktiviti penangkapan anjing liar kini dilakukan melibatkan kawasan simpang empat Kampung Tellian Daya sehingga kawasan simpang tiga kampung Tellian Daya telah berjaya menangkap beberapa anjing liar yang berkeliaran.

“Pemburuan dan penangkapan anjing liar di kawasan yang terlibat telah kita lakukan beberapa hari ini dilihat mencapai misi dan akan berterusan akan dilakukan sepanjang minggu ini, terima kasih kepada semua pihak yang terlibat, kerana ia penting agar masalah yang tidak diingini berlaku,” katanya.