OYA : “Satu punca terjadinya kepupusan Bahasa Melanau ini ialah melalui perkahwinan campur, kita lihat ada anak-anak ini kadangkala tidak pandai berbahasa ibunda iaitu Bahasa Melanau , malah mereka akan bertutur dalam bahasa lain, lain dari bahasa Melanau, ini bukan sahaja bahasa Melanau malah bahasa ibunda lain di Sarawak,” jelas Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah .

Tambahnya berdasarkan pengalaman beliau terdahulu yang bertanggungjawab bersama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melihat perkembangan bahasa di negeri Sarawak, dan didapati beberapa bahasa akan mengalami kepupusan.

“Antaranya ialah Bahasa Bidayuh, Bahasa Kelabit dan saya juga lihat berpotensi mengalami kepupusan ialah Bahasa Melanau ini, jika dibandingkan dengan kumpulan besar kaum lain seperti Cina dan Melayu jauh besar penuturnya.

“Sehubungan itu dengan Pembinaan Centre of Technical Excellence Sarawak (Centex) Kampus Dalat yang akan siap menjelang Disember 2020 ini akan bakal memiliki pusat bagi mempelajari Bahasa Melanau Dalat,” katanya kepada Suara Sarawak selepas ditemui merasmikan majlis Pra Perasmian Community Technical Outreach Programme Kursus Asas Sulaman Keringkam di Dalat Selasa lalu.

Jelasnya untuk Dalat, oleh kerana peluang telah ada melalui Centexs ini ditubuhkanlah pusat bahasa ini dan juga galeri mini warisan Melanau dan tenaga pengajar tempatan akan diperlukan untuk mengajar bahasa ini, sebagaimana inisiatif tersebut dibuat bagi mempelihara bahasa Melanau Dalat yang dilihat berpotensi dan risiko untuk pupus.

Datuk Seri Fatimah Abdullah ditemui pemberita

“Centexs ini mungkin berbeza dengan Centexs lain kerana kita juga mahu wujudkan sebuah mini galeri untuk menempatkan warisan dan khazanah Melanau di galeri tersebut dan kita gabungkan bersama dengan pembelajaran bahasa ini,” katanya.

Berdasarkan kajian yang dijalankan UNICEF katanya, dari aspek tempatannya di Sarawak Bahasa Melanau ini juga boleh pupus.

“Ada usaha dari DBP untuk terbitkan kamus bahasa Melanau dan bahasa-bahasa lain, pada masa yang sama, bukan sahaja kamus, kita juga terbitkan daftar kata, kerana kita tahu Bahasa Melanau ini berbeza mengikut tempat misalnya Melanau Mukah, Igan Daro, Oya, Bintulu dan sebagainya.

“Pertama kita mulakan di pra sekolah menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar di Tawak Raut dan untuk Bahasa Kelabit dan Bidayuh,”ujarnya.

“Kita harap agar supaya bahasa Melanau ini akan terus hidup subur kerana ia ialah salah satu daripada warisan dan usaha berterusan akan dilakukan untuk mengekalkan warisan kita ini, ” jelas Fatimah.