KUCHING: Seorang lelaki warganegara Indonesia ditemui mati tergantung, dipercayai membunuh diri di bangunan Konsulat Indonesia, Jalan Stutong di sini pagi tadi.

Mangsa, 39, berasal Brebes Jawa Tengah dan bekerja sebagai buruh di sini menggantung diri menggunakan tali ‘towing’ di kawasan garaj di tepi bangunan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani berkata kejadian disedari rakan senegara mangsa pada lebih kurang jam 2.50 pagi.

“Menurut pekerja Bahagian Perlindungan di Konsulat Indonesia, mangsa sering berhalusinasi dan mendengar bisikan makhluk halus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Awang Din menambah siasatan di tempat kejadian mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian ini.

Pegawai perubatan dari Hospital Umum Sarawak (HUS) mengesahkan kematian mangsa dan mayat dibawa ke rumah mayat HUS untuk tindakan lanjut.

Kes masih dalam siasatan dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Pegawai perubatan HUS memeriksa sebelum mengesahkan kematian mangsa.