KUCHING: Kebakaran hutan di belakang Pejabat Daerah Kecil Sematan, semalam dikenal pasti menjadi punca kebocoran paip utama (paip sementara yang disambung di bawah Projek Lebuhraya Borneo Utara oleh Konsortium URW Sdn. Bhd.)

Kebocoran paip utama ini telah menyebabkan gangguan bekalan air di sepanjang Jalan Utama Lundu-Sematan bermula dari Pejabat Perikanan Laut Sematan, Pejabat Pertanian Sematan, Pejabat Daerah Kecil Sematan sehingga ke Pasar Sematan dan beberapa kawasan sekitarnya.

Menurut Penolong Pengarah, Unit Komunikasi Korporat dan Khidmat Pelanggan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Awang Fardillah Awang Hussin, kebocoran paip tersebut dikesan oleh JBALB Daerah Lundu pada pagi ini.

“JBALB Daerah Lundu dengan kerjasama pihak Konsortium URW Sdn.Bhd. sedang melakukan kerja-kerja penggantian paip baharu pada hari ini,” katanya yang dihubungi, hari ini.

Awang Fardillah menambah penghantaran air menggunakan lori tangki juga akan dilakukan oleh JBALB Daerah Lundu ke kawasan yang teruk terjejas.

Beliau turut menasihati pengguna supaya menjimatkan penggunaan air di sepanjang tempoh gangguan.

Katanya sebarang aduan dan pertanyaan boleh menghubungi Bilik Gerakan Bencana Ibu Pejabat JBALB di talian 082-263078.

Paip utama yang menyalurkan air ke Sematan bocor akibat kebakaran hutan