BINTANGOR: Mini karnival belia yang dijangka menarik penyertaan golongan muda akan diadakan sempena penganjuran program ‘Run Against Crime’ di Dewan Masyarakat di sini, pada 5 Oktober depan.

Selain Polis, program yang diselitkan dengan kempen anti dadah yang melibatkan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sarikei itu, bermatlamat mengalak penyertaan aktiviti golongan belia dalam aktiviti lebih sihat.

Selain ceramah dan pameran berkaitan dadah, program juga akan diserikan dengan pelbagai acara menarik yang lain antaranya, persembahan busking, pertandingan memasak, bolasepak jalanan, takraw bulatan dan lain-lain lagi.

Pada masa yang sama, penganjuran program turut dibantu Parti PBB N.46 Meradong, Saberkas, Pemuda PBB dan Skuad Sayang.

Sehubungan itu, Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam (UKAS), Abdullah Saidol menyampaikan sumbangan MRP RM3,000 kepada IPD Meradong bagi membantu menjayakan program berkenaan, semalam.

Abdullah (tengah) mengadakan perbincangan bersama Ahli Jawatankuasa Pengelola program Run Against Crime di Pejabat Daerah Meradong, semalam.

Terdahulu beliau turut mengadakan perbincangan bersama ahli jawatankuasa pengelola bagi memastikan kelancaran program terbabit.

“Bagi saya program ‘Run Against Crime’ ini besar manfaatnya untuk masyarakat khususnya golongan muda. Justeru, ia perlu ditambahseri dengan pelbagai aktiviti yang berkaitan agar matlamatnya menepati sasaran,” katanya.

Beliau yang juga ADUN N.42 Semop turut menyampaikan MRP sebanyak RM4,000 kepada Kelab Penggiat Sastera Sarikei (KAPESSA) bagi membantu penyertaan Anum Band dalam program mengenali bahasa Melanau dan membuat persembahan secara langsung di TV3 pada 27 September ini.

Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tanjung Bundong pula menerima geran MRP RM3,333 untuk membeli tiang lampu elektrik gelanggang badminton serta peralatan komputer.

Abdullah turut menghulurkan geran MRP RM1,833 kepada Jawatankuasa Pengurusan Masjid Tanjung Bundong untuk membeli satu unit komputer dan mesin cetak.