TATAU: Kerajaan negeri Sarawak akan mengubah dasar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) untuk memberi lebih tumpuan kepada pembangunan luar bandar dalam kawasan pentadbiran lembaga berkenaan.

Melalui perubahan dasar itu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata dana khas akan dapat disalurkan kepada BDA bagi memastikan pembangunan kawasan luar bandar di bawah bidang kuasa lembaga itu dapat diberikan keutamaan.

“Saya ambil maklum penstrukturan semula pembangunan kawasan ini (Tatau) termasuklah kawasan Tamin. Kita akan bagi dana khas melalui BDA, mungkin saya ubah sedikit bagaimana kita membuat satu mekanisme untuk membangunkan kawasan-kawasan itu,” kata beliau yang juga merupakan pengerusi lembaga pengarah BDA.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Projek Pembinaan Jalan Baru Tatau ke Kuala Tatau dan Menaiktaraf Jalan Kelebu ke Rumah Ado, Tatau di Dewan Sukan Rakyat di sini.

Kenyataan itu dibuat sebagai maklum balas terhadap permohonan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kakus Datuk John Sikie Tayai yang meminta kerajaan negeri menubuhkan satu badan khas bagi merangsang dan menyelaras pembangunan di kawasan DUN Tamin dan DUN Kakus, dalam ucapannya sebelum itu.

Menurut John Sikie, badan khas itu penting kerana DUN Kakus dan Tamin adalah kawasan DUN luar bandar yang luas, berada di bawah tiga bahagian pentadbiran iaitu Bahagian Bintulu, Mukah dan Sibu.

Seterusnya, Ketua Menteri turut berkata kerajaan negeri akan membangunkan loji penapisan bekalan air di pekan Stapang yang bernilai RM62 juta.

Beliau berkata selaras dengan keputusan itu, kerajaan negeri kini dilihat mengambil alih satu lagi projek kerajaan persekutuan yang telah diluluskan peruntukannya pada era pentadbiran Barisan Nasional, namun tiada kemajuan selepas pertukaran kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Abang Johari seterusnya menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya Sarawak diperintah oleh satu kaum sahaja, kerana menurutnya sebarang keputusan mengenai dasar kerajaan negeri dicapai secara kolektif.

“Walauapun saya Ketua Menteri, saya rujuk kepada kabinet di dalam membuat keputusan. Anggota kabinet terdiri daripada Menteri-menteri pelbagai kaum, maka semua kaum ada (wakilnya). Sarawak tidak boleh diperintah oleh satu kaum sahaja, Sarawak telah diperintah oleh pelbagai kaum,” katanya.

Sarawak katanya tidak boleh berpecah seperti di Semenanjung di mana orang Melayu berpecah lima di bawah Umno, Bersatu, PKR, PAS dan Amanah.

“Kita di Sarawak tidak berpecah, kita gabungkan bumiputera di Sarawak dan kerjasama dengan bukan bumiputera kerana kita di Sarawak ada budaya, Cina, Iban, Bidayuh, Melayu, Melanau, Orang Ulu, kita ada satu semangat iaitu hendak membangunkan negeri kita,” katanya.