DARO : Penduduk Nanga Semah menzahirkan perasaan gembira terhadap kesungguhan Kerajaan Sarawak menyediakan jalan raya bagi kegunaan mereka.

Penduduk berkata, ia adalah khabar menggembirakan kepada mereka yang selama ini bergantung sepenuhnya dengan pengangkutan sungai.

Penempatan di Nanga Semah terdiri daripada enam buah rumah panjang masyarakat Iban di tebing Sungai Semah, Batang Serdeng manakala Kampung Penasu pula mempunyai 76 buah rumah dengan lebih 800 penduduk masyarakat Melanau dan Melayu.

Ketika ini, penduduk di kawasan berkenaan hanya dapat dihubungkan melalui pengangkutan air dan ia menimbulkan kesukaran terutama bagi penduduk Penasu untuk mendapat perkhidmatan klinik desa yang terdapat di Nanga Semah.

Seorang penduduk, Seman Ali, 45, menyifatkan usaha itu sesuatu yang amat ditunggu-tunggu mereka selama ini.

Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Julaihi Narawi, ADUN N.43 Safiee Ahmad menunjukkan isyarat bagus dalam majlis pecah tanah projek rakyat di Nanga Semah.

“Bagi saya, kewujudan jalan ini umpama mimpi jadi kenyataan. Kami tidak pernah terfikir suatu hari nanti kawasan ini akan dihubungkan dengan jalan raya.

“Ini juga membuktikan keprihatinan pemimpin kami yang sentiasa mengambil berat dan tidak pernah meminggirkan kami di sini (Nanga Semah),” katanya.

Dalam pada itu, ADUN N.43 Daro, Safiee Ahmad berkata, jalan sepanjang 10.47 kilometer yang dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 24 bulan itu bukan sahaja memberi kemudahan kepada penduduk tetapi juga melonjakkan potensi Nanga Semah dalam bidang pertanian.

Menurutnya, usaha itu juga membuktikan Kerajaan Sarawak tidak bercakap kosong sebaliknya sentiasa bersedia melaksanakan projek pembangunan demi manfaat rakyat terutama penduduk luar bandar.

“Sudah pasti, ia menyediakan kemudahan perhubungan kepada penduduk berbanding pengangkutan sungai ketika ini.

“Pembinaan jalan ini bukan sahaja sebagai jalan perhubungan tetapi juga menjadi pemangkin kegiatan sosio ekonomi penduduk dengan pembukaan kawasan pertanian yang baharu.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang meluluskan peruntukan untuk membina projek ini,”ujarnya.

Kehadiran penduduk memeriahkan majlis.

 

Julaihi menurunkan tandatangan sambil diperhatikan Safiee (dua kanan) selepas menyempurnakan majlis perasmian.