MIRI: Guano iaitu najis kelawar bercampur najis burung di Gua Niah masih menjadi sumber pendapatan bagi sesetengah penduduk Penan dari Kampung Tanjung Belipat. Bagaimanapun, menurut Warden Sarawak Forestry Corporation (SFC), di Taman Negara Niah, Shirley Naning, tidak ramai lagi mereka yang menjalankan kegiatan berkenaan.

Katanya, kegiatan mengambil Guano di Gua Niah sudah dijalankan oleh penduduk di situ sejak 80-an lagi, untuk dijadikan baja tumbuhan.

“Guano yang dikumpul juga akan dijual kepada peniaga. Cuma dua tiga orang sahaja yang masih menjalankan kegiatan ini,” katanya semalam.

Shirley berkata, Jabatan Muzium pernah mengeluarkan pekeliling supaya penduduk di situ tidak lagi mengutip Guano kerana bimbang menjejaskan artifak serta bahan arkeologi di dalam Gua Niah.

“Walaupun mereka masih ambil tetapi tidak banyak, kira-kira seguni atau dua guni seorang dan tidak setiap hari, mungkin dua kali seminggu sahaja,” katanya.

Beliau menambah, Guano sudah berkurangan di dalam Gua Niah, dipercayai mungkin disebabkan populasi kelawar yang berkurangan.

Sementara itu, Shirley berharap lebih ramai penyelidik datang menjalankan penyelidikan di Taman Negara Niah.

“Kami memang mengalu-alukan penyelidikan tetapi harus dijalankan secara berhemah.

“Banyak yang boleh diselidik di Taman Negara Niah khususnya flora dan fauna kerana kita memang memerlukan banyak perkembangan terbaharu sama ada dari segi spesies yang ada dan masih hidup, berapa populasi dan sebagainya,” katanya.