LAWAS: Pendekatan pengajaran dan pembelajaran subjek Sains dan Matematik di peringkat sekolah harus dititikberatkan memandangkan kawasan Limbang akan menerima pelaburan besar dalam bidang minyak dan gas untuk jangka panjang.

Sejajar itu, Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong menyokong penuh pendekatan SMK Marapok yang menitikberatkan pembelajaran Sains.

“Tahniah kepada pihak sekolah kerana menyertai beberapa pertandingan berkaitan sains dan natematik di peringkat negeri, nasional dan antarabangsa. “Pasukan sekolah juga berjaya memperoleh kejayaan serta memperoleh pingat dalam pertandingan yang disertai,” katanya merasmikan Program Science-Math for Life di SMK Merapok, baru-baru ini.

Henry Sum berkata lagi, kejayaan yang dikecapi itu adalah curahan tenaga guru, dorongan ibu bapa serta bantuan daripada agensi serta sektor korporat. Beliau memaklumkan kemajuan dalam sains dan teknologi penting untuk meneroka perkara baharu seperti yang diperkenalkan kerajaan menerusi Stem.

“Lawas akan menjadi kawasan pengeluar minyak dan gas terkemuka di Sarawak menjelang hujung tahun ini.

“Ini kerana industri minyak dan gas akan menyediakan peluang pekerjaan dan membangunkan kawasan Lawas sebagai tumpuan di seluruh dunia,” ujarnya.

Oleh itu katanya, ibu bapa dan pelajar perlu mengambil peluang untuk mendorong anak-anak untuk terus belajar hingga ke peringkat tinggi. Ini tegasnya, bagi mengisi keperluan kepakaran di kilang pemprosesan minyak di Lawas.