KUCHING: Beberapa syarikat asing dan tempatan telah menunjukkan minat untuk membuka perniagaan berkaitan oleokimia di Sarawak, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Awang Tengah, yang juga merupakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan negeri berkata, kimia yang berasal daripada lemak tumbuhan atau haiwan, mempunyai banyak kegunaan dalam produk hiliran dan sudah sampai masanya bagi negeri itu untuk memberi tumpuan kepadanya sebagai satu lagi sumber hasil.

“Kami mempelawa pelabur dalam dan luar negara, kerana kami mempunyai semua sumber ini dan industri minyak sawit sedang berkembang.

“Terdapat beberapa syarikat yang berminat untuk membuka perniagaan, tetapi ia masih di peringkat awal, tetapi kami benar-benar berharap agar ia dapat ditubuhkan di Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucap tama pada Sidang Kemuncak Perniagaan dan Ekonomi Antarabangsa Sarawak, di sini, hari ini.

Terdahulu dalam ucapan beliau, Awang Tengah, yang juga merupakan Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua berkata Sarawak telah menanam 1.5 juta hektar kelapa sawit dan terdapat keperluan untuk membangunkan industri oleokimia di negeri itu.

Menyentuh mengenai isu lain, beliau optimis bahawa Sarawak bakal menjadi hab petrokimia serantau dengan dasar-dasar baharu yang diambil oleh kerajaan negeri.

Mengakui bahawa pergantungan kepada rizab minyak dan gas tidak mampu bertahan bagi tempoh jangka panjang, beliau berkata kerajaan negeri mengambil keputusan yang betul untuk meneroka aktiviti hiliran tokokan nilai bagi kedua-dua sumber asli.

Menurutnya, Sarawak memiliki 54 peratus daripada rizab gas asli negara dan 29 peratus daripada rizab minyak negara dengan kebanyakan sumber asli ini dieksport seperti minyak mentah atau gas asli cecair.

Awal bulan ini, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan dasar baharu bahawa 40 hingga 50 peratus penemuan baharu sumber gas di negeri ini perlu dikekalkan sebagai bahan mentah bagi industri berkaitan gas untuk memacu aktiviti hiliran, terutamanya dalam industri petrokimia.