BINTULU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna(KPDNHEP) hari ini memberikan penarafan sebagai Zon Perdagangan Terpilih (ZPT) kepada enam premis peringkat Zon Sarawak.

Timbalan Menterinya, Chong Chieng Jen berkata penarafan ZPT tersebut sebagai mengiktiraf premis terlibat kerana menjalankan perniagaan beretika.

Menurutnya, penarafan ini memberi manfaat kepada kedua-dua pihak iaitu premis berkenaan dan juga pengguna di mana kementerian akan membantu mempromosikan premis berkenaan sementara semua urusan perniagaan dijalankan mengikut undang- undang ditetapkan.

“Penarafan ZPT ini secara tidak langsung akan memberikan pengiktirafan kepada kompleks perniagaan yang berjaya mencapai tahap pematuhan Key Performance Indicator (KPI) di bawah Program Penguatkuasaan Bestari (Smart Enforcement) bagi tahun 2019, ujarnya pada sidang media selepas menyampaikan sijil pengiktirafan penarafan ZPT kepada enam premis perniagaan yang terpilih menerima penarafan ZPT bertempat di Times Square Megamall, di sini.

Enam premis perniagaan tersebut adalah Times Square Megamall Bintulu, Boulevard Shopping Mall Kuching, Plaza Simanggang Sri Aman, Bintang Megamall Miri, Permaisuri Imperial City Mall Miri dan Li Hua Plaza Bintulu.

Secara amnya, pencapaian pematuhan bagi tahun 2018 oleh ZPT yang terlibat adalah sebanyak 110 buah ZPT iaitu 99 peratus telah mencapai KPI yang ditetapkan, katanya sambil memberitahu setakat ini tiada terdapat premis perniagaan yang menerima pengiktirafan penarafan ZPT melanggar undang- undang yang ditetapkan.

Timbalan Ketua Setiausaha Kepenggunaan dan Pengurusan KPDNHEP Datuk Rostam Affendi Dato’ Salleh, Pengarah Penguatkuasa KPDNKHEP Dato’ Iskandar Halim Haji Sulaiman,Pengarah KPDNKHEP Negeri Sarawak, Dato Stanley Tan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kidurong, Chiew Chin Sing antara yang hadir.