KUCHING: Pasukan Kumpulan Inovatif dan Kreatif Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak merangkul empat anugerah emas di Konvensyen Antarabangsa Mengenai Kumpulan Kawalan Kualiti (ICQCC) 2019, yang berlangsung di Tokyo, Jepun, mengalahkan lebih 300 pasukan dari 16 negara yang mengambil bahagian.

Unit Komunikasi Awam Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan, pasukan itu yang diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Jaul Samion, diwakili oleh Kumpulan DO IT 3 dari Jabatan Perbendaharaan Kerajaan Negeri Sarawak, kumpulan THE HUMMER (Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak), Kumpulan FORCESCAP (Majlis Bandaraya Miri) dan Kumpulan JAGU (Majlis Daerah Sri Aman).

“Ini merupakan kali pertama semua pasukan yang mengambil bahagian berjaya mencapai empat anugerah emas dan ia amat bermakna kepada negeri Sarawak kerana ia menandakan kejayaan pelaksanaan 10 tahun Pelan Tindakan SCS 10-20,” menurut kenyataan itu.

Konvensyen anjuran Kesatuan Saintis dan Jurutera Jepun (JUSE) itu berlangsung pada 21 hingga 27 Sept lepas.  – Bernama