Kes kebakaran rumah panjang menurun

MIRI: Jumlah kes melibatkan kebakaran di rumah panjang di negeri ini dilaporkan semakin menurun.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, ia disebabkan penganjuran program dan kempen kesedaran keselamatan kebakaran melibatkan masyarakat luar bandar yang giat dilakukan.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Program Summer Camp 2019 di sini, baru-baru ini.

“Tahun lepas sahaja, kami menerima 110,000 panggilan kecemasan seluruh negara.

“Daripada angka itu, sebanyak 40,000 dilaporkan adalah panggilan kecemasan kebakaran sementara selebihnya pula kerja-kerja menyelamat,” katanya.

Selain itu, beliau menegaskan langkah pencegahan yang strategik adalah elemen paling penting dalam mana-mana risiko pengurusan termasuk kejadian kebakaran di rumah.

“Program kesedaran pencegahan kebakaran dapat menghasilkan kesan positif kepada masyarakat dengan mengurangkan tahap kerosakan dalam kejadian kebakaran.

“Latihan yang betul dapat mengelakkan bahaya dengan mudah dan berkesan seandainya kebakaran tercetus,” jelasnya.

Oleh itu, beliau berharap program kesedaran di bawah inisiatif Jabatan Bomba dan Penyelamat dapat diteruskan pada masa akan datang untuk memberikan impak positif kepada masyarakat.

Dalam pada itu, Hamdan juga memaklumkan bahawa pihak bomba dalam proses untuk meletakkan papan tanda keselamatan yang bertujuan memberi amaran berbahaya di kawasan air, tasik, kolam dan tempat rekreasi.

“Untuk itu, kami akan meminta kerjasama pihak berkuasa tempatan untuk meletakkan papan tanda untuk memberi amaran kepada orang awam.

“Setakat ini, beberapa kawasan berisiko tinggi telah dikenal pasti,” ujarnya.

Turut hadir Timbalan Pesuruhjaya Bomba Edwin Galan Teruki, Pengarah JBPM Sarawak Khirudin Drahman, Ketua Jabatan

Bomba dan Penyelamat Miri Law Poh Kiong dan Pengurus Besar Kanan Minyak Sarawak (SK) Morris Mail.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak