Penumpang hampir beranak, pesawat terpaksa mendarat di Lapangan Terbang Miri

KUCHING: Penerbangan domestik yang berlepas dari Kuala Lumpur ke Sandakan pada 1 September lalu terpaksa mendarat di Lapangan Terbang Miri apabila seorang penumpang hamil menunjukkan tanda-tanda hendak melahirkan anak.

Pesawat AK5194 itu yang membawa 130 penumpang dan enam anak kapal tiba di Lapangan Terbang Miri sekitar jam 5.28 petang.

Sebaik tiba, wanita berkenaan segera dibawa ke Hospital Miri menggunakan ambulans yang sudah pun bersedia di lapangan terbang berkenaan.

Pengarah Hospital Miri, Dr Jack Wong, mengesahkan wanita yang berasal dari Sandakan itu selamat melahirkan bayi lelaki sekitar jam 5.58 petang.

“Si ibu dan bayinya sihat,” katanya yang dihubungi, hari ini.

Pesawat itu dipercayai meneruskan penerbangan ke Sandakan kira-kira jam 6.27 petang.

Wanita hamil dibantu anak kapal turun dari pesawat ketika mendarat di Lapangan Terbang Miri pada 1 September lalu.

 

Bayi lelaki selamat dilahirkan di Hospital Miri, selepas ibunya hampir beranak di dalam pesawat.
 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak