Saya hargai kepercayaan rakyat – Huang

SARIKEI: ADUN N.45 Repok, Dato’ Seri Huang Tiong Sii memberi jaminan tidak akan mensia-siakan kepercayaan dan mandat yang diberikan rakyat kepada beliau.

Menurut Huang, beliau akan terus komited melaksanakan tanggungjawab bagi memastikan nasib rakyat di kawasannya terbela.

Katanya, kemenangannya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu merupakan satu amanah dan beliau berjanji akan melipatgandakan usaha untuk berkhidmat kepada rakyat khususnya DUN Repok.

“Saya mahu melihat keseimbangan dalam semua perkara di kawasan ini baik dari segi infrastruktur, kemudahan asas mahupun pembangunan insaniah,” katanya pada Majlis Makan Malam Perayaan Kuih Bulan anjuran SUPP Cawangan Sarikei, sebentar tadi.

Beliau berkata, Kerajaan Sarawak komited meningkatkan taraf hidup rakyat dengan meluluskan beberapa projek berimpak tinggi yang bakal memberi manfaat besar dalam tempoh jangka panjang.

Mengabadikan kenangan bersama pemimpin masyarakat dan penduduk Sarikei dalam jamuan makan malam sempena Perayaan Kuih Bulan Anjuran SUPP Sarikei.

Pelaksanaan projek jalan raya Sungai Pasi ke Tanjung Manis katanya, membuktikan keperihatinan kerajaan Sarawak terhadap keperluan rakyat.

“Saya amat bersyukur dan ingin berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak, khususnya kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang sentiasa berfikir untuk rakyat dan sering menghulurkan dana berterusan membangunkan Sarawak termasuk Sarikei,” katanya.

Beliau juga berkata usaha meningkatkan kualiti pendidikan di DUN Repok terus diberi tumpuan bagi memastikan generasi muda di kawasan itu menimba ilmu dalam suasana selesa.

Katanya, langkah tersebut akan terus diperhebatkan melalui pelbagai pendekatan.

Selain prasarana sekolah katanya, beliau juga akan terus menyalurkan sumbangan peralatan dan pakaian seragam dari semasa ke semasa.

Huang disambut mesra sebaik hadir pada majlis malam di Dewan Sentral Sarikei.

“Saya memberi tumpuan terhadap aspek ini kerana sedar pendidikan satu-satunya jalan terbaik untuk keluar dari kepompong kemiskinan.

“Melalui ilmu jugalah generasi muda berpeluang menikmati kehidupan yang lebih terjamin,” ujarnya.

Hadir sama, Pengerusi Kumpulan Wanita SUPP Cawangan Sarikei, Kr. Wong Zee Yeng, Temenggung Frederick Wong, Pemanca Chan Phan Chan, Penghulu Huang Tiong Kang, Penghulu Teng Wan Neng, Penghulu Yiu Chii Tung, Penghulu Ley Kok Lin dan lebih 1,000 penduduk sekitar Sarikei.

Sempat bertanya khabar
 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak