Seorang warga tempatan maut, dua motosikal bertembung

SARATOK: Seorang lelaki maut setelah terbabit dalam kemalangan di KM 46 Jalan Betong-Sarikei semalam.

Nahar Bohari, 57 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah di bahagian dada.

Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi Superintendan Mordani Tanin berkata kemalangan berlaku akibat pertembungan dua buah motosikal sebelum salah seorang mangsa dilanggar kereta dari arah bertentangan.

Katanya, kedua-dua motorsikal terbabit dari arah Betong menuju ke Sarikei dengan sebuah motorsikal ditunggang bersama pembonceng.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila si mati gagal mengelak motosikal yang sedang perlahan dihadapannya.

“Akibat pelanggaran tersebut, mangsa yang terpelanting di laluan jalan bertentangan telah dilanggar oleh sebuah kenderaan jenis Proton saga.

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian dalaman disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Saratok bagi siasatan lanjut dilakukan.

Sementara itu, tambahnya, dua lagi mangsa yang menunggang motosikal dan pembonceng hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian badan.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak