Sebahagian besar permainan rollercoaster mementingkan kelajuan, sudut yang tajam dan ketinggian bagi menaikkan adrenalin orang ramai.

Namun berbeza dengan SkyCycle, yang umpama basikal, adrenalin juga dapat dinaikkan dengan tanpa sebarang kelajuan.

Terletak di kawasan pergunungan di Taman Permainan Washuzan Highland, Okayama, SkyCycle merupakan permainan yang paling mengerikan dan paling lambat untuk ditamatkan di dunia.

Ini kerana ia menggunakan kuasa kayuhan berikutan ia bergantung kepada kepantasan pengayuhnya untuk sampai ke penghujung.

Ia juga tidak mempunyai sebarang lereng curam atau lambungan yang hebat namun ia tetap menyebabkan jantung anda berdegup kencang. Bagi penggemar rollercoaster biasa, ia mungkin tidak hebat namun selepas anda naik basikal itu dan menyedari satu-satunya talian hayat anda ialah tali pinggang keselamatan, degupan jantung anda akan naik serta merta. 

Selain itu, angin yang kadangkala bertiup kencang juga menakutkan kerana tiada besi penahan yang diletakkan di tepi landasan tersebut.