KUCHING: Sarawak sedang mempertimbang untuk menjadi pembekal pusat Grid Tenaga ASEAN sebagai pembekal tenaga elektrik serantau, kata Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr James Masing.

Masing, yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan berkata Sarawak perlu menyusun semula kedudukannya dan berada di barisan hadapan sektor tenaga.

“Sumber-sumber Sarawak dan lokasi strategik dari segi geografi membolehkan kita memainkan peranan kritikal dalam rantaian bekalan hulu dan hiliran rantau ini.

“Oleh kerana potensi kelebihan nasional dan antarabangsa yang dikaitkan menjadi sebahagian daripada Grid Tenaga ASEAN, sebagai entiti yang mengambil bahagian, Sarawak mesti melaksanakan kecekapan tenaga domestik melalui pemodenan infrastruktur elektrik untuk mengurangkan kos dan impak sebagai sebahagian daripada infrastruktur Grid Tenaga ASEAN. ”

Beliau berkata demikian dalam ucapan khas pada Sidang Kemuncak Perniagaan dan Ekonomi Antarabangsa Sarawak di sini, semalam. Pengerusi Bernama, Datuk Seri Azman Ujang menjadi moderator pada sesi tersebut.

Masing berkata, pada masa ini, kerajaan negeri telah menjual tenaga elektrik kepada Kalimantan Barat sejak 2016 dan sedang memacu inisiatif Grid Trans-Borneo dengan hasrat untuk membekalkan tenaga elektrik kepada Brunei dan Sabah.

Pada sidang media kemudian, Masing menyatakan keyakinannya bahawa Sarawak mempunyai bekalan tenaga yang mencukupi untuk membekalkan tenaga elektrik dengan lebih 50 peratus daripada bekalan tenaga ialah dari hidro-elektrik.

Selain bekalan dari empangan Bakun, beliau berkata satu lagi empangan hidro-elektrik sedang dalam pembinaan di Baleh yang dijangka siap dalam masa lima tahun.

“Apabila siap ia mampu membekalkan 500 megawatt elektrik,” katanya.