SIBU: Sembilan penumpang berdepan detik cemas apabila van sewa jenis Toyota Hiace dinaiki mereka merempuh sebuah lori yang diparkir di tepi jalan di Jalan Salim, Stabau pagi tadi.

Mangsa bernasib baik apabila hanya mengalami cedera ringan dan dikejarkan ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, mereka yang cedera termasuk kanak-kanak dan seorang bayi perempuan yang masing-masing berusia enam dan dua tahun.

Katanya, insiden kira -kira 6.30 pagi itu berlaku ketika van terbabit dalam perjalanan dari Sibu menghala ke Kanowit.

“Bagaimanapun sebaik tiba di tempat kejadian pemandunya dipercayai tidak sempat memberhentikan kenderaan sebelum terlanggar lori berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

Keadaan Van yang terlibat kemalangan di Jalan Salim, Stabau.

Jurucakap itu berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sibu bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan pada 6.32 lagi.

Bagaimanapun ujarnya, sebaik sahaja Bomba tiba di tempat kejadian, lori terbabit tidak ada di situ.

“Kami kemudiannya menggunakan peralatan menyelamat dengan melakukan kerja pemotongan bahagian hadapan tempat penumpang sebelah kiri untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit

“Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan dan hanya mengalami cedera ringan. Kesemua mereka di hantar ke Hospital menggunakan dua buah Ambulan Hospital Sibu dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS),” katanya.

Sehubungan itu, Bomba melakukan pemeriksaan susulan di persekitaran laluan tersebut bagi memastikannya selamat untuk dilalui kenderaan lain.