KUCHING: Kerajaan Sarawak akan memberi fokus kepada empat sektor dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), dengan sektor pelancongan akan diberi peruntukan lebih tinggi di bawah dasar ekonomi digital.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata sektor lain yang akan diberi tumpuan ialah pembangunan industri pertanian moden, pendidikan dan pembangunan infrastruktur.

“Infrastruktur, kita akan terus bangunkan jalan raya dan bekalan air serta jambatan,” katanya pada majlis pemimpin bersama rakyat di Mukah, yang disiar secara langsung melalui platform media sosial Unit Komunikasi Awam Sarawak, malam tadi.

Abang Johari berkata kerajaan negeri telah menyediakan rancangan dalam setiap sektor berkenaan yang akan dilaksanakan sebaik RMK12 bermula pada 2021.

Katanya bagi mengoptimumkan setiap rancangan di bawah dasar ekonomi digital, kerajaan juga kini sedang berusaha menyediakan jaringan internet 5G.

Beliau yakin dengan penekanan terhadap setiap sektor ini, Sarawak mampu mencapai matlamat sebagai negeri termaju di Malaysia menjelang 2030.