NEW YORK: General Motors secara sementara memberhentikan 6,000 pekerja di Mexico disebabkan mogok buruh Amerika Syrikat (AS), yang mengganggu pengeluaran di dua kilang mengeluarkan trak pikap di selatan sempadan, kata syarikat pada Selasa.

Pemberhentian itu menjejaskan kilang pemasangan dan penghantaran Silao di tengah Mexico, dengan kerja “tergendala akibat kekurangan alatan berkaitan dengan mogok UAW,” kata jurucakap GM.

Pekerja Silao dijangka kembali menjalankan pekerjaan mereka selepas mogok itu, kata jurucakap.

Bahagian buruh GM di Mexico memaklumkan kepada pekerja di kilang pemasangan Silao yang mereka dikehendaki bercuti wajib, yang tidak dinyatakan tempohnya dan akan menerima 55 peratus daripada gaji mereka, menurut dokumen yang diperoleh AFP.

Bagaimanapun, syarikat itu menegaskan tiada siapa diberhentikan secara kekal.

“Tiada pemberhentian kerja buat masa ini… Kami menilai situasi hari ke hari dan berharap dapat mengembalikan operasi normal dalam masa terdekat, mungkin dalam masa beberapa hari,” kata jurucakap Teresa Cid kepada AFP.

Dua kilang di Silao, negeri Guanajuato, mengeluarkan trak pikap Chevrolet dan GMC. Langkah itu diambil setelah lebih 3,000 pekerja di Kanada dan di kilang Ohio cuti dari  bertugas di kilang kendalian GM usaha sama dengan Isuzu untuk menghasilkan enjin diesel. Hampir 50,000 pekerja AS melancarkan mogok di GM kerana konfl ik United Auto Workers berhubung kontrak buruh, kini sudah memasuki minggu ketiga. – AFP