MUKAH: Nasib mangsa kebakaran Rumah Tingang Anjang dan Rumah Sendri Senabong yang rosak akibat ribut kuat minggu lalu terus mendapat perhatian Adun Tellian Yusibnosh Balo dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak.

Bertempat di Pusat Khidmat Masyarakat N57 Tellian semalam, satu Majlis Penyerahan Bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat telah disempurnakan oleh Yusibnosh Balo yang turut dihadiri beberapa orang penduduk dari dua rumah panjang yang terlibat.

Beliau berkata melalui bantuan yang diberikan tersebut berupaya membantu penduduk kampung meneruskan kehidupan bagi membaik pulih rumah dan membina baru rumah panjang mereka.

“Bagi Rumah Tingang Anjang yang terbakar melibatkan lima pintu Jabatan Kebajikan memberikan bantuan berjumlah RM35,400 secara keseluruhan, yang meliputi bantuan segera iaitu wang saku kepada setiap penduduk rumah berkenaan, pakaian harian, pakaian dan peralatan persekolahan untuk anak-anak.

“Manakala untuk membina baru rumah panjang berkenaan bantuan bahan binaan pula berjumlah RM25,000 turut diberikan,” katanya di sini semalam.

Tambah beliau lagi pihaknya juga akan memberikan bantuan beberapa tangki air kepada rumah tersebut dalam masa terdekat bagi memudahkan penduduk kampung mendapat bekalan air bersih.

“Selain itu untuk Rumah Sendri, kita akan berikan sumbangan wang kepada rumah tersebut untuk mereka mengadakan doa selamat, dan dari pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat akan memberikan bantuan berjumlah RM27,500 melibatkan bahan binaan bagi membaik pulih rumah panjang yang mengalami kerosakan berkenaan.

“Kerajaan Sarawak menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat akan terus membantu sesiapa sahaja yang menghadapi musibah dan pihak mereka juga telah menggunakan garis panduan yang telah ditetapkan dengan sebaiknya dalam memberikan bantuan kepada sesiapa yang memerlukan ini,” ujarnya.

Turut hadir mewakili Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak Bahagian Mukah menyampaikan bantuan tersebut ialah Norzalia Mohd Hanapiah dan Samsul Sami.

Tuai Rumah, Tinggang Ajang dan Sendri Senabong turut memberikan penghargaan dan ucapan ribuan terima kasih ke atas bantuan yang telah diberikan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat, Adun Tellian dan semua pihak yang menghulurkan bantuan kepada mereka dalam menghadapi musibah tersebut.