PERDANA Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad kembali ke New York 24-28 September lepas, untuk bersuara lantang pada Perhimpunan Agung PBB (UNGA) Ke-74 di New York. Tahun lepas, 2018 beliau berpeluang membawa suara “dunia kecil” di muka negara besar pada sidang PBB selepas 22 tahun meninggalkan kerusi perdana menteri. Mahathir diiringi isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, seperti selalunya tidak gentar mengkritik negara kuasa besar dunia termasuk negara kecil “kepala besar” begitu berkuasa di Timur Tengah, Israel.

ISU ISRAEL

Mahathir tidak membenci Israel apatah lagi bangsa Yahudi yang menurutnya beliau pernah bersimpati dengan nasib mereka pada Perang Dunia Pertama. Betapapun dengan jelas Mahathir menuduh Israel sebagai akar umbi kepada keganasan.

Barat menurut Mahathir bertanggungjawab melahirkan Israel dengan menjarah tanah Palestin dan menyingkirkan hampir 90 peratus penduduknya. Mahathir mengecam tindakan kuasa besar cenderung menggunakan tindakan ketenteraan dan mengisytiharkan sekatan memerangi keganasan sebaliknya sengaja tidak mahu mengenal pasti punca keganasan itu.

Kelahiran Israel, menurut Mahathir menyebabkan golongan Muslim dan penganut Islam dimusuhi dan dituduh pengganas. Israel dikatakan sesuka hati melanggar perundangan antarabangsa dan norma dunia.

Menjawab soalan pelajar yang bertanya kepada beliau pada majlis di Universiti Columbia, Mahathir berkata beliau tidak menafi kan holocaust, tetapi beliau mempertikaikan jumlah kematian Yahudi pada holocaust. Beliau bertanya siapa menentukan jumlah angka Yahudi yang mati semasa holocaust? Pertanyaan itu menurut Mahathir adalah amalan kebebasan bersuara dan dilihat demokratik.

ISU ROHINGYA, KASHMIR

Mahathir turut menyuarakan sikap kuasa besar dan dunia yang terus membisu berhubung isu kekerasan Myanmar terhadap Muslim Rohingya yang menyebabkan lebih 700,000 membawa diri ke Bangladesh.

Ramai terkorban, dibunuh dengan kejam dan dirogol, manakala rumah dibakar. Mereka dipaksa berhijrah. Dunia dilihat tidak mampu menangani kekejaman tersebut yang akhirnya menghakis resolusi dimeterai PBB.

Mahathir turut mengambil bahagian dalam majlis peringkat tinggi di luar perhimpunan itu bertajuk “Rohingya Crisis – A Way Forward” di ibu pejabat PBB anjuran Malaysia sendiri bersama-sama Bangladesh, Turki, Arab Saudi dan Kanada.

Beliau turut menyuarakan rintihannya berkaitan krisis Jammu dan Kashmir. Menurutnya, walaupun resolusi PBB dikemukakan terhadap Jammu dan Kashmir, negara berkenaan masih dijajah dan diceroboh.

India menurut beliau wajar berganding bahu dengan Pakistan menyelesaikan isu Kashmir bukan mengeruhkan keadaan di wilayah autonomi itu.

Suara paling berani Mahathir apabila turut mencadangkan agar pendekatan berkaitan kuasa veto dalam PBB diubah.

KUASA VETO

Menurut Mahathir sepanjang 75 tahun lalu, lima negara mendakwa mempunyai hak memimpin dunia selepas perang lantas memberikan kuasa veto kepada diri mereka sendiri. Mahathir mengkritik, kuasa veto berkenaan bercanggah dengan semua prinsip hak asasi manusia apabila negara kuasa veto ini mengenepikan hasrat hampir 200 anggota lain.

“Berapa lama lagi harus kita biarkan kumpulan ini memegang tampuk kuasa? Sampai bila, selamanya?” Mahathir mempertikai kuasa “lima teristimewa” ini yang sentiasa mahu terjamin.

PERDAGANGAN BEBAS, PERANG DAGANG DAN ISU SAWIT

Mahathir turut mengkritik penggubalan dasar perdagangan bebas yang dilihat tidak adil yang hanya menguntungkan negara kaya dan kuasa besar. Ini termasuk Perjanjian Trans-Pasifi k yang dilihat berat sebelah menguntungkan negara kaya.

Beliau turut memberi contoh klasik bagaimana import minyak kelapa sawit dicadangkan negara Eropah berpunca daripada ketidakmampuan mereka bersaing dalam pasaran minyak masak sehingga melancarkan kempen menyekat minyak kelapa sawit.

Mereka menohmah minyak kelapa sawit meracuni kesihatan, memusnahkan habitat monyet atau orang utan, mengurangkan kadar peresapan karbon dioksida.

Sementara, Mahathir turut menyifatkan perang dagang adalah pembaziran. Mengambil kira seluruh dunia jadi pasaran untuk semua, perang dagang hanya membantutkan potensi untuk semua pihak mengaut kekayaan.

Sekatan yang dikenakan terhadap negara tertentu dianggap percaturan politik yang merugikan negara jiran. Manakala, apabila sesebuah negara dilihat tidak memihak kuasa besar, negara tersebut dikenakan sekatan ekonomi.

ISU PERUBAHAN IKLIM

Dalam isu perubahan iklim dan malapetaka dunia, Mahathir sinis menyindir negara yang “gila berperang”.

“Saya berpendapat, berbanding asyik nak berperang, lebih baik kita memberi tumpuan terhadap perubahan iklim dan pelbagai bencana alam yang akan datang.”

Beliau mengajak dunia berganding bahu menangani perubahan iklim, bersiap siaga mendepani gempa bumi, taufan, ribut serta ujian lain.

“Jika kita kurangkan peruntukan kewangan untuk membunuh orang, kita akan mempunyai cukup dana bagi tujuan penyelidikan dan persediaan.

KRITIK PEPERANGAN

Mengkritik peperangan, Mahathir berkata kita umpama masyarakat bertamadun, tetapi masih kolot apabila ‘pejam mata’ terhadap pembunuhan.

Beliau percaya Mahkamah Dunia masih perlu menangani ketidakadilan di dunia ini serta menggunakan pendekatan secara aman, selain mengkritik penghasilan senjata baharu untuk membunuh dalam peperangan.

Namun, pada Mahathir meskipun PBB gagal memberi perlindungan terhadap golongan miskin daripada wabak perang, PBB masih dianggap mampu menyumbang kepada taraf kesihatan, pendidikan, keselamatan sosial, menangani penderitaan golongan miskin.

Sememangnya ucapan Mahathir mempunyai “bisanya” tersendiri. Selesai “membelasah” pihak berkepentingan pada Perbahasan Umum PBB, delegasi dari seluruh dunia beratur menunggu Mahathir di belakang pentas!

Mahathir bukan setakat perlu disalam dan diucap tahniah atas ketegasan dan keberaniannya bercakap benar di hadapan “penguasa”, bahkan kenyataannya wajar sekali disorak dan diteriak kembali ke telinga untuk sampai ke dasar hati mereka yang merasakan diri “kuasa besar dunia”